Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 April. - Seramai empat pegawai haji dari Darussalam Services Sendirian Berhad (DSSB) telah berlepas ke Arab Saudi hari ini bagi membuat persediaan awal untuk menyambut ketibaan bakal jemaah haji yang mengikuti pakej kendalian DSSB.
Rombongan berkenaan diketuai oleh Pengarah Urusan DSSB, Awang Haji Mahmud bin Haji Mohamed.
Awang Haji Mahmud menjelaskan bahawa pihak DSSB akan mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan segala perancangan dan urusan logistik berjalan lancar, termasuk penginapan hotel, pengangkutan, penyusunan bilik serta penyediaan makanan kepada para jemaah.
Turut menyertai rombongan ialah Penolong Pengurus Am, Jabatan Haji dan Umrah, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Bakar; serta dua kakitangan dari Jabatan Haji dan Umrah DSSB.
Hadir sama bagi mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Pengerusi Darussalam Holdings Sdn. Bhd.
Bagi musim haji 1447 Hijrah / 2026 Masihi, daripada jumlah kuota seramai 1,000 orang yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), seramai 448 bakal jemaah haji akan mengikuti pakej DSSB bersama 12 pegawai pengiring.
Para jemaah ditawarkan tiga pilihan pakej, iaitu Pakej Delima (Premium), Pakej Fairuz (Sederhana) dan Pakej Zamrud (Ekonomi).
Sebanyak empat penerbangan khas telah diaturkan bagi membawa bakal jemaah haji NBD ke Tanah Suci.
Penerbangan pertama dijadualkan berlepas pada 4 Mei 2026, diikuti penerbangan kedua pada 5 Mei 2026, manakala penerbangan ketiga dan keempat, masing-masing pada 6 Mei 2026 dan 7 Mei 2026.
Pada tahun ini, DSSB turut berbesar hati menyampaikan cenderamata kepada setiap bakal jemaah haji berupa bagasi, pelbagai barangan keperluan serta buku panduan haji.
Sebahagian daripada cenderamata berkenaan akan diagihkan selepas sesi taklimat kepada para jemaah.